KETAHUI 6 FAKTA PENTING PUSPAKOM, JANGAN BIARKAN HIDUP ANDA DISELUBUNGI
MISTERI
KAMI pernah dijemput ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk merasai sendiri pengalaman sebenar menjadi pemeriksa kenderaan (VE) agensi itu dalam acara khas, 'Be a Vehicle Examiner for a Day'. Malah, kami siap diberikan jaket, cermin mata industri berserta topi khas yang memang menjadi kostum wajib petugas ketika memeriksa kenderaan. Semua itu dilakukan semata-mata untuk memberikan gambaran sebenar bagaimana seorang VE bertugas.
Di bawah ini kami pecahkan kepada beberapa sub topik bagi memudahkan
pemahaman pembaca mengenai fungsi, proses kerja dan apa saja yang ada kaitan
mengenai PUSPAKOM:
1. Siapa Puspakom?
PUSPAKOM ditubuhkan pada 1994 dan berada di bawah
syarikat induk DRB-HICOM Bhd yang juga satu-satunya syarikat pemeriksa
kenderaan lantikan Kerajaan Malaysia untuk melakukan semua pemeriksaan
mandatori terhadap kenderaan awam dan perdagangan, termasuk kenderaan
persendirian bagi tujuan pembiayaan sewa beli, pindah milik dan insurans.
Hari ini, PUSPAKOM mempunyai 56 pusat pemeriksaan seluruh negara,
termasuk perkhidmatan tambahan di 28 lokasi pemeriksaan dengan
jumlah pemeriksaan tahunan mencecah 3 juta kenderaan. Pada 2009, PUSPAKOM baru
saja diberikan konsesi bagi penggal kedua (15 tahun sepenggal), di mana 2017
ialah tahun ke-8 bagi penggal kedua konsesi berkenaan.
2. Jenis Pemeriksaan
Mungkin ramai keliru tentang jenis pemeriksaan PUSPAKOM. Kalau mahu
disenaraikan jenis pemeriksaan memang panjang (ada 12 jenis), tetapi
asasnya kami bahagikan ia kepada dua kategori besar, iaitu MANDATORIdan SUKARELA.
i) MANDATORI
Kategori mandatori ialah jenis pemeriksaan yang wajib dilakukan
bergantung kepada akta ditetapkan agensi tertentu seperti Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ), Kastam Diraja Malaysia, pihak insurans dan lain-lain. Daripada 12
jenis, 11 pemeriksaan lain ialah kategori mandatori.
Jenis-jenis pemeriksaan yang ditawarkan:
·
Pemeriksaan Awalan
·
Pemeriksaan Berkala
·
Pemeriksaan Semula
·
Pemeriksaan Khas
·
Pemeriksaan Tukar Milik
·
Pemeriksaan Kenderaan Kerajaan
·
Pemeriksaan Penilaian
·
Pemeriksaan Lelong
·
Pemeriksaan Sukarela
·
Pemeriksaan Kenderaan Import Untuk
Kastam (IVIC)
·
Pemeriksaan Sewa Beli (HPI)
·
Pemeriksaan Insurans
Boleh baca maklumat lanjut di laman web PUSPAKOM. Kesimpulannya, pemeriksaan kategori mandatori
ialah syarat yang wajib dilakukan pemilik sebelum kenderaan mereka
dibenarkan berada atas jalan. Antara jenis pemeriksaan mandatori
popular adalah seperti Pemeriksaan Berkala membabitkan
kenderaan perdagangan yang diwajibkan setiap 6 bulan sekali seperti teksi, bas
atau kereta sewa.
Berapa caj?
Bayaran adalah bergantung kepada jenis pemeriksaan. Misalnya,
pemeriksaan berkala bagi kenderaan awam seperti teksi ialah sebanyak RM55,
manakala pemeriksaan awalan RM70. Kadar bayaran tidak termasuk caj 6
peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Rujuk gambarajah di bawah untuk butiran lengkap bayaran yuran pemeriksaan
kenderaan.
ii) SUKARELA
Ramai tidak tahu PUSPAKOM memang ada menawarkan Pemeriksaan
Kenderaan Secara Sukarela yang anda boleh dilakukan di mana-mana pusat
pemeriksaan PUSPAKOM seluruh negara. Bagi memudahkan proses, buatlah janji temu
terlebih dahulu.
Antara bahagian yang diperiksa PUSPAKOM adalah seperti di bawah ini:
Berapa caj?
Serendah RM50 sahaja dan tidak termasuk caj 6
peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Malah anda juga boleh
melakukan pemeriksaan mengikut bahagian tertentu dengan caj RM15 per
bahagian. Misalnya, anda mahu kereta anda diperiksa bahagian cermin gelap
sahaja dan caj yang perlu dibayar ialah RM15.
3. Yuran Pemeriksaan Mahal? Ada 'Orang Dalam'?
PUSPAKOM mengakui banyak mendapat maklum balas pengguna yang terkejut apabila diberitahu bayaran pemeriksaan adalah dalam purata sekitar RM50 sahaja. Ramai menyangka PUSPAKOM mengenakan bayaran melampau mahal. Malah, PUSPAKOM bertegas menafikan meletakkan jumlah bayaran tertentu untuk membolehkan sesebuah kereta mudah lulus.
Faktanya, ramai pengguna terpedaya dengan tipu helah khidmat orang
tengah atau runner dengan bayaran ratusan ringgit yang
kononnya diminta 'orang dalam' supaya kenderaan mereka mudah dan cepat lulus.
PUSPAKOM sendiri mendedahkan kepada kami beberapa kes siasatan yang dilakukan
berikutan aduan sesetengah pengguna tentang ada pegawainya menerima habuan
rasuah untuk meluluskan atau mempercepatkan pemeriksaan kenderaan.
Namun, selepas siasatan dilakukan pada tarikh dan masa dilaporkan, jelas sekali si runner langsung tidak berjumpa sesiapa pun. Sebaliknya, dia cuma beratur seperti biasa lebih kurang satu atau dua jam, dan kemudian mendapat keputusan mengikut standard pemeriksaan. Malangnya, yang mendapat nama buruk ialah PUSPAKOM, manakala yang ditipu hidup-hidup ialah pengguna dan mendapat habuan pula, runner sendiri.
Sebagai makluman, PUSPAKOM sendiri dipantau dan diaudit
oleh 11 agensi berbeza (lihat senarai agensi di atas) yang akan
turun padang secara rawak. Setiap minggu pasti ada saja muka-muka 'perisik'
yang ada di sekitar kawasan pemeriksaan PUSPAKOM.
4. Proses Pemeriksaan
SUMBER: Puspakom
Cuba kita lihat carta aliran pelanggan di atas untuk jenis Pemeriksaan
Berkala yang membabitkan kenderaan perdagangan bagi setiap 6 bulan
sekali. Tidaklah sesukar mana bukan?
Anda cuma perlu beratur mengikut laluan ditetapkan, mendaftar dan buat
bayaran sebelum menjalani pemeriksaan (10 poin) dan mendapat keputusan
pada hari sama. Segalanya akan selesai dalam jangka masa lebih kurang dua jam
sahaja.
Jika keputusan gagal, anda boleh datang membuat pemeriksaan
semula dalam tempoh 30 hari dengan bayaran tambahan RM25 bagi
kenderaan perkhidmatan awam seperti teksi, kereta sewa dan teksi limosin. Caj
pemeriksaan kali kedua atau seterusnya (jika gagal lagi) adalah berbeza
mengikut jenis kenderaan.
5. Pemeriksaan Tukar Milik Sangat Leceh?
Sengaja kami sorotkan jenis pemeriksaan ini kerana pemeriksaan tukar
milik adalah antara jenis pemeriksaan popular dalam kalangan pemilik
kenderaan persendirian yang mahu membeli kereta terpakai atau menukar
hak milik kenderaan mereka atau tukar nama dalam geran kepada individu lain
(pembeli luar, kawan, atau saudara).
Pesanan kami, sila berhati-hati dengan sesetengah premis kereta terpakai yang sengaja meletakkan kos upah pemeriksaan PUSPAKOM yang melampau mahal, sedangkan kos sebenar baru RM30 sahaja. Ya, RM30 sahaja! Jangan percaya tipu helah yang kononnya mereka perlu bayar 'orang dalam' supaya kereta anda mudah dan cepat lulus, walhal runner mereka pun perlu beratur seperti pemilik kenderaan lain juga. Lagipun, semua keputusan pemeriksaan direkodkan terus ke dalam pangkalan data komputer.
Bagaimanapun, pemeriksaan kenderaan bagi penukaran hak milik adalah
lebih ringkas kerana cuma membabitkan empat ujian utama iaitu
mengenal pasti identiti kereta, memeriksa bahagian atas dan bawah (jika ada
isu-isu teknikal seperti potong sambung atau perubahan casis) dan akhir sekali
penggunaan cermin gelap.
Proses Pemeriksaan Pindah Milik pula adalah seperti
berikut:
RUJUKAN: Puspakom
6. Standard Kualiti Pemeriksaan Dan Peralatan
Peralatan digunakan PUSPAKOM ditentukur secara berkala oleh Makmal
Metrologi Kebangsaan SIRIM, termasuk dipantau dan disaksikan JPJ di semua pusat
pemeriksaan PUSPAKOM seluruh negara. Bukan pihak Kerajaan saja yang turun
memantau tetapi juga pihak ketiga seperti agensi swasta.
PUSPAKOM turut melaksanakan program Peralatan Keterulangan dan
Kebolehulangan (Equipment Repeatability and Reproducibility - ER&R),
berdasarkan analisis Tolok Keterulangan dan Kebolehulangan (GR&R) yang
menjadi ukuran keupayaan sesuatu peralatan untuk menjana bacaan dan keputusan
telus, tepat, jitu dan konsisten sepanjang masa. Proses pengukuran pula adalah
mengikut ciri-ciri atau parameter dalam prosedur operasi standard (SOP)
PUSPAKOM.
Aktiviti ER&R juga dijalankan secara berkala di semua cawangan dan
lorong pemeriksaan berperalatan yang merangkumi peralatan Gelincir
Sisi, Alat Pengujian Suspensi, Alat Pengujian Brek dan Alat Pengujian Asap.Proses
pengukuran dan verifikasi ini dibuat menggunakan kereta ujian khas dan diuji
petugas VE terlatih.
GALERI
SUMBER: PUSPAKOM
No comments:
Post a Comment