Rakyat Malaysia Masih Memandang Ringan Insurans Perjalanan
Kita kerap mendengar atau membaca berita tentang
rakyat Malaysia yang terlantar di hospital sambil menunggu ehsan orang ramai di
tanahair kerana tidak mampu menanggung kos perubatan ketika terjatuh sakit di
luar negara. Perkara ini tidak mungkin berlaku seandainya kita melindungi diri
dengan membeli insurans dan Takaful perjalanan setiap kali kita ke luar negara.
Akan tetapi masih ramai yang tidak mengambil berat tentang kepentingan dan
keperluan perlindungan ini.
Menurut kajian yang dilakukan di
talian oleh syarikat insuras am Tune Protect baru-baru ini, walaupun 80% rakyat
Malaysia yang memahami kepentingan perlindungan tersebut, malangnya hanya 34.8% yang
membelinya untuk perlindungan diri.
![]() |
Mampukah kita menanggung segala kos perubatan di luar negara? |
Sikap pelancong Malaysia
Apabila merancang sesuatu perjalanan atau
percutian, rakyat Malaysia masih hanya pentingkan keseronokan dan tidak
mengambil endah tentang keselamatan diri. Ini berpunca daripada sikap yang
menganggap kemalangan tidak akan berlaku pada diri sendiri.
Segala persiapan dilakukan dengan rapi. Dari tiket
kapalterbang ke penginapan hotel perlu terlebih dahulu ditempah. Bahkan ramai
yang menghabiskan masa berjam-jam melayari laman Tripadvisor dan Agoda untuk
memilih hotel yang cantik dan sesuai dengan citarasa dan bajet.
Pakaian yang ingin dibawa juga perlu lengkap. Baju
sejuk diperlukan jika melancong ke negara sejuk. Selipar dan topi pula jika ke
kepulauan tropika.
Sebelum bermula perjalanan atau percutian pula,
kunci rumah ditinggalkan dahulu bersama adik-beradik jika berlakunya sebarang
kecemasan. Agenda percutian dan itinerari perjalanan diberi kepada ibu dan ayah
agar mereka tahu di mana kita berada di sepanjang percutian.
Tapi berapa ramai yang melayari
laman syarikat insurans untuk membuat sedikit kajian tentang produk insurans
perjalanan yang ditawarkan? Dan berapa ramai pula yang membelinya? Japawannya
telah pun disebut di atas: 3 atau 4 dalam setiap 10 orang.
![]() |
Persiapan lengkap, tapi mana insurans perjalanannya? |
Fungsi insurans perjalanan. Apa yang dilindungi?
Malang tidak berbau. Ianya boleh menimpa sesiapa,
di mana jua dan pada bila-bila masa sahaja. Dan ianya hanya perlu berlaku
sekali, padah dan akibatnya mungkin kita tanggung sepanjang hayat, seperti
kes-kes yang disebut di atas.
Di sini senarai risiko yang dilindungan insurans
perjalanan untuk pemahaman kita:
1. Pembatalan atau pemendekan
perjalanan
Kos yang ditanggung bagi perjalanan yang tidak
dapat dituntut semula seperti deposit hotel dan tiket penerbangan setelah
perjalanan terpaksa dibatalkan atau dipendekkan akan diberi pampasan oleh
syarikat insurans. Sebab-sebab pembatalan dan pemendekan perjalanan perlulah munasabah
dan mengikut syarat.
2. Kelewatan perjalanan
Kos yang ditanggung akibat kelewatan penerbangan
atau pelayaran akan dibayar oleh polisi insurans perjalanan. Tempoh kelewatan
yang ditetapkan untuk memenuhi syarat mungkin berbeza mengikut syarikat
insurans. Kebiasaannya ianya tidak kurang dari 12 jam. Pampasan juga diberi ke
atas belanja makan dan penginapan akibat kelewatan ini.
3. Kelewatan bagasi
Anda diberi ganti rugi sekiranya berlaku kelewatan
bagasi jika melebihi sesuatu tempoh waktu. Bayaran juga diberikan jika anda
terpaksa membeli pakaian baru atau keperluan lain disebabkan oleh kelewatan
bagasi anda ketika di luar negara.
4. Risiko ke atas barang-barangan
peribadi, wang ringgit serta passport
Insurans perjalanan memberi perlindungan terhadap
kerosakan atau kehilangan barangan peribadi disebabkan oleh kenderaan
pengangkut. Ini termasuklah bagasi, barangan peribadi serta wang ringgit. Jika
kehilangan passport dan dokumen perjalanan, pampasan akan diberikan selama anda
terpaksa menunggu passport/ dokumen diganti. Pampasan ini termasuklah kos tambahan
untuk penginapan, perbelanjaan perjalanan dan komunikasi.
5. Kos perubatan
Kos perubatan di negara luar jauh berbeza dengan
kos di negara kita. Perlindungan ini adalah yang terpenting sekiranya anda
ingin ke luar negara terutama negara-negara kos tinggi seperti United Kingdom,
Australia dan Jepun. Kos rawatan, pembedahan, dan hospital ditanggung oleh
syarikat insurans sekiranya anda jatuh sakit atau kemalangan semasa dalam
perjalanan anda.
6. Pemindahan perubatan kecemasan
Sekiranya anda perlukan rawatan semasa di luar
negara manakala kemudahan perubatan di kawasan di mana anda berada tidak
memadai, polisi insurans perjalanan anda akan menanggung kos pemindahan
kecemasan anda ke hospital yang bersesuaian. Contoh sekiranya anda melancong ke
ski resort di puncak gunung dan mengalami kemalangan. Anda mungkin perlu
diterbangkan menaiki helikopter ke hospital terdekat.
7. Penghantaran pulang jenazah
Sekiranya berlaku kematian ketika dalam perjalanan,
pihak syarikat insurans akan menanggung kos membawa balik jenazah pemegang
polisi insurans perjalanan.
8. Liabiliti diri
Sekiranya anda menyebabkan kecederaan kepada pihak
ketiga atau mengakibatkan kerosakan harta benda pihak ketiga, polisi insurans
perjalanan akan lindungi anda daripada liabiliti dan membayar perbelanjaan
guaman.
Harga insurans perjalanan sebenarnya tidaklah
mahal, terutama sekali jika dibandingkan dengan kos perjalanan itu sendiri.
Jadi mengapa ambil risiko?