Thursday 27 September 2018


Kepentingan Insurans Perjalanan / Travel Insurance

RAKYAT MALAYSIA MASIH MEMANDANG RINGAN INSURANS PERJALANAN
Dipetik dari ibanding.com
Kita kerap mendengar atau membaca berita tentang rakyat Malaysia yang terlantar di hospital sambil menunggu ehsan orang ramai di tanahair kerana tidak mampu menanggung kos perubatan ketika terjatuh sakit di luar negara. Perkara ini tidak mungkin berlaku seandainya kita melindungi diri dengan membeli insurans dan Takaful perjalanan setiap kali kita ke luar negara. Akan tetapi masih ramai yang tidak mengambil berat tentang kepentingan dan keperluan perlindungan ini.

Menurut kajian yang dilakukan di talian oleh syarikat insuras am Tune Protect baru-baru ini, walaupun 80% rakyat Malaysia yang memahami kepentingan perlindungan tersebut, malangnya hanya 34.8% yang membelinya untuk perlindungan diri.

 Sikap pelancong Malaysia
Apabila merancang sesuatu perjalanan atau percutian, rakyat Malaysia masih hanya pentingkan keseronokan dan tidak mengambil endah tentang keselamatan diri. Ini berpunca daripada sikap yang menganggap kemalangan tidak akan berlaku pada diri sendiri.

Segala persiapan dilakukan dengan rapi. Dari tiket kapalterbang ke penginapan hotel perlu terlebih dahulu ditempah. Bahkan ramai yang menghabiskan masa berjam-jam melayari laman Tripadvisor dan Agoda untuk memilih hotel yang cantik dan sesuai dengan citarasa dan bajet.
Pakaian yang ingin dibawa juga perlu lengkap. Baju sejuk diperlukan jika melancong ke negara sejuk. Selipar dan topi pula jika ke kepulauan tropika.

Sebelum bermula perjalanan atau percutian pula, kunci rumah ditinggalkan dahulu bersama adik-beradik jika berlakunya sebarang kecemasan. Agenda percutian dan itinerari perjalanan diberi kepada ibu dan ayah agar mereka tahu di mana kita berada di sepanjang percutian.
Tapi berapa ramai yang melayari laman syarikat insurans untuk membuat sedikit kajian tentang produk insurans perjalanan yang ditawarkan? Dan berapa ramai pula yang membelinya? Japawannya telah pun disebut di atas: 3 atau 4 dalam setiap 10 orang.


FUNGSI INSURANS PERJALANAN. APA YANG DILINDUNGI?
Malang tidak berbau. Ianya boleh menimpa sesiapa, di mana jua dan pada bila-bila masa sahaja. Dan ianya hanya perlu berlaku sekali, padah dan akibatnya mungkin kita tanggung sepanjang hayat, seperti kes-kes yang disebut di atas.

Di sini senarai risiko yang dilindungan insurans perjalanan untuk pemahaman kita:

1. Pembatalan atau pemendekan perjalanan
Kos yang ditanggung bagi perjalanan yang tidak dapat dituntut semula seperti deposit hotel dan tiket penerbangan setelah perjalanan terpaksa dibatalkan atau dipendekkan akan diberi pampasan oleh syarikat insurans. Sebab-sebab pembatalan dan pemendekan perjalanan perlulah munasabah dan mengikut syarat.

2. Kelewatan perjalanan
Kos yang ditanggung akibat kelewatan penerbangan atau pelayaran akan dibayar oleh polisi insurans perjalanan. Tempoh kelewatan yang ditetapkan untuk memenuhi syarat mungkin berbeza mengikut syarikat insurans. Kebiasaannya ianya tidak kurang dari 12 jam. Pampasan juga diberi ke atas belanja makan dan penginapan akibat kelewatan ini.

3. Kelewatan bagasi
Anda diberi ganti rugi sekiranya berlaku kelewatan bagasi jika melebihi sesuatu tempoh waktu. Bayaran juga diberikan jika anda terpaksa membeli pakaian baru atau keperluan lain disebabkan oleh kelewatan bagasi anda ketika di luar negara.

4. Risiko ke atas barang-barangan peribadi, wang ringgit serta passport
Insurans perjalanan memberi perlindungan terhadap kerosakan atau kehilangan barangan peribadi disebabkan oleh kenderaan pengangkut. Ini termasuklah bagasi, barangan peribadi serta wang ringgit. Jika kehilangan passport dan dokumen perjalanan, pampasan akan diberikan selama anda terpaksa menunggu passport/ dokumen diganti. Pampasan ini termasuklah kos tambahan untuk penginapan, perbelanjaan perjalanan dan komunikasi.

5. Kos perubatan
Kos perubatan di negara luar jauh berbeza dengan kos di negara kita. Perlindungan ini adalah yang terpenting sekiranya anda ingin ke luar negara terutama negara-negara kos tinggi seperti United Kingdom, Australia dan Jepun. Kos rawatan, pembedahan, dan hospital ditanggung oleh syarikat insurans sekiranya anda jatuh sakit atau kemalangan semasa dalam perjalanan anda.

6. Pemindahan perubatan kecemasan
Sekiranya anda perlukan rawatan semasa di luar negara manakala kemudahan perubatan di kawasan di mana anda berada tidak memadai, polisi insurans perjalanan anda akan menanggung kos pemindahan kecemasan anda ke hospital yang bersesuaian. Contoh sekiranya anda melancong ke ski resort di puncak gunung dan mengalami kemalangan. Anda mungkin perlu diterbangkan menaiki helikopter ke hospital terdekat.

7. Penghantaran pulang jenazah
Sekiranya berlaku kematian ketika dalam perjalanan, pihak syarikat insurans akan menanggung kos membawa balik jenazah pemegang polisi insurans perjalanan.

8. Liabiliti diri
Sekiranya anda menyebabkan kecederaan kepada pihak ketiga atau mengakibatkan kerosakan harta benda pihak ketiga, polisi insurans perjalanan akan lindungi anda daripada liabiliti dan membayar perbelanjaan guaman.

Harga insurans perjalanan sebenarnya tidaklah mahal, terutama sekali jika dibandingkan dengan kos perjalanan itu sendiri. Jadi mengapa ambil risiko?
Jika inginkan lagi keterangan lanjut atau ingin mula dapatkan sebutharga bagi jenis-jenis produk perlindungan perjalanan yang ditawarkan, tanyakan kepada ejen-ejen di direktori dengan mudah di sini.
 ~~~~~~~~~~~~~~~
Komen Dr Cat :

Auww terasa uols... ya.. saya jarang klik Travel Insurance Tune yang ada disediakan bersama tiket Air Asia misalnya ( RM10.60 domestic, RM26.80 overseas).Biasanya saya menggunakan flight dalam negeri sahaja...masa ke Bandung hari tu pun, saya menggunakan insurans untuk kakitangan kerajaan yang cuma boleh guna once a year.(kalau nak travel overseas lagi, kena beli insurans sendiri ya) Tapi setelah membaca artikel ini dan melihat banyak kes - kes jatuh sakit di luar negara semasa melancong dan secara tiba- tiba menanggung beban hutang beratus ribu ( 100-300k) untuk rawatan di luar negara, rasa seriau pulak. Walaupun memang ada insurans kesihatan( medical card ), kena semak balik sebab normal insurans ni cover kesihatan shj, tak cover kecurian, flight delay, flight cancelled,bagasi hilang, tebusan(huhu takut),rampasan kapalterbang - nauzubillah! 

          Dan perlu diingat semua insurans tak cover flight yang tuan badan sendiri cancel kecuali anda tiba-tiba sakit sebelum berlepas(kena ada dokumen lah - surta doktor etc- kena check polisi). Apa-apa pun check polisi insurans dan ambillah mana yang berkenan di hati. Selalunya kos insurans perjalanan ni range dia dalam RM20.00 hingga RM50++ ( single trip), dan maybe dalam RM150 - 250 (bagi mereka yang keluar negara dengan kerap dalam setahun-tak payah beli insurans setiap kali nak keluar, beli sekali je). Dan ada banyak jenis dari standard ke gold ke platinum dan VIP type. Bukan kita doakan benda tak baik berlaku, namun sediakan payung sebelum hujan ya...mana nak cekau RM100k kalau kena hospitalised 2 minggu misalnya di overseas? Bagi pendaki gunung pula, boleh pilih insurans yang cover dengan helikopter evacuation sekiraya anda bimbang anda tercedera di puncak gunung yang menyukarkan team penyelamat darat nak selamatkan anda.


Wednesday 26 September 2018


Mak, Kereta Saya Kena Langgar Belakang!
BAYANGKAN situasi begini, anda sedang seronok memandu sambil melayan lagu kegemaran di satu kawasan perumahan Kerinchi, Kuala Lumpur, dan tiba-tiba GEDEGANG!!! Sebuah kereta entah datang dari mana menghentam but kereta anda. Lebih menyakitkan hati, si pelanggar itu datang mengetuk-ngetuk tingkap kereta anda dengan muka tidak puas hati. Kononnya anda bersalah. Rileks, jangan gelabah.
Mari kami ajarkan langkah demi langkah apa yang perlu anda lakukan apabila berdepan situasi seperti itu. Tarik nafas...
1. BAWA BERTENANG, JANGAN KONFRONTASI

Dari segi undang-undang jalan raya, secara teknikalnya anda tidak bersalah. Asalkan anda berada dalam laluan memandu yang betul dan bukannya menukar lorong secara tiba-tiba. Jadi, jangan takut dan cuba berkonfrontasi. Keluar kereta dengan tenang, beri salam dan cakap;
Boleh kita settle kat balai?
Jangan sesekali minta maaf kerana itu hanya menunjukkan anda bersalah, sekali gus membuatkan pelanggar cuba menguasai anda.
2. JADI FOTOGRAFER, AMBIL GAMBAR
Takkanlah kamera telefon bimbit anda untuk selfie saja? Sekarang, tibalah masa untuk berbakti. Ada 3 kriteria gambar penting perlu diambil kira:
i) Gambar dekat (close-up) - Impak kemalangan ke atas kereta anda dan kereta pelanggar. Contoh: bampar kemek, lampu pecah, tayar pecah, pintu tercabut, dan lain-lain.
ii) Gambar jauh - Keadaan kemalangan yang menampakkan kereta anda dan kereta pelanggar dalam satu bingkai gambar. Ambil segenap sudut (hadapan, tepi dan belakang) dan jangan lupa nombor plat kereta pelanggar.
iii) Cukai jalan - Ramai selalu terlupa hal ini bila panik. Jika pelanggar memandu tanpa cukai jalan sah, anda memiliki kelebihan! Anda boleh buat penyelesaian luar balai dengan meminta ganti rugi tunai!
3. PATUTKAH SAYA 'SETTLE' LUAR?

Ada 2 situasi boleh berlaku, iaitu:
i) Pelanggar minta anda bayar ganti rugi
Ingat sekali lagi, secara teknikalnya anda tidak bersalah. Jadi tidak usah peduli jika dia mendesak anda bayar ganti rugi. Beritahu dia begini;
Saya tak ada cash. Apa kata kita buat claim insurans.
Jika dia berdegil, anda boleh saja terus ke balai polis untuk buat report. Sedarlah, anda layak menuntut ganti rugi daripada insurans pelanggar tanpa menjejaskan nilai diskaun tiada tuntutan (NCD) kereta anda.
ii) Pelanggar mahu bayar ganti rugi
Jika pelanggar mahu bayar ganti rugi, itulah sebaik-baik penyelesaian. Kereta anda tidak perlu bermalam lama di bengkel sementara menunggu selesai proses tuntutan insuran dan baik pulih.
TETAPI, pastikan pelanggar bayar ganti rugi yang mencukupi. Jika sukar buat anggaran, bawa dia bersama pergi ke mana-mana bengkel cat kereta dan minta tuan kedai berikan sebut harga. Minta pelanggar bayar seperti apa yang dinyatakan. Jika pelanggar tidak sanggup bayar, tiba masanya anda buat tuntuan insurans.
4. TOWING KE BALAI POLIS
Pandu sendiri ke balai polis cawangan trafik terdekat sekiranya kereta anda boleh bergerak. Jika sebaliknya, gunakan khidmat trak tunda. Kebiasaannya, sebaik saja kemalangan berlaku, ada saja trak tunda meluru datang.
Jangan gopoh. Anda sepatutnya menelefon pihak insurans dan minta dihantarkan trak tunda yang menjadi wakil panel. Kenapa bazirkan duit sedangkan anda boleh dapat khidmat trak tunda percuma (dalam purata jarak sekitar 60km) tanpa perlu bayar apa-apa. Tempoh menunggu biasanya 30-45 minit, bergantung lokasi kemalangan.
Yakinlah diri sendiri. Sekarang pergi beritahu brader-brader towing yang sedang merayu;
Bro, saya dah telefon towing truck sendiri.
Pada peringkat pertama, kereta anda akan ditunda dari lokasi kemalangan ke balai polis cawangan trafik terdekat.
5. BUAT REPOrT

Semoleknya buat repot di balai polis cawangan trafik terdekat. Jika agak jauh, anda boleh saja buat repot di mana-mana balai polis terdekat. Jumpa abang polis di kaunter dan buatlah report. Jelaskan apa sebenar yang berlaku. Abang polis akan keluarkan satu salinan report bernombor dan uruskan janji temu anda dengan pengawai penyiasat (IO). Biasanya berpangkat Sarjan.
6. JUMPA PEGAWAI PENYIASAT (IO)
Jika ada IO yang tidak sibuk, anda tidak perlu menunggu lama dan boleh terus berjumpa dengannya.
[PERHATIAN: Repot boleh dibuat di mana-mana balai polis, tetapi siasatan kemalangan cuma akan dilakukan IO yang bertugas dalam kawasan liputan saja.]
Contohnya; Anda kemalangan di Kerinchi dan buat repot di Balai Polis Kerinchi. Tetapi, pihak yang bertanggungjawab menyiasat kes anda ialah IO di Balai Polis Trafik Tun HS Lee (juga dikenali Balai Polis Jalan Bandar).
IO akan menemubual anda dan minta dilukiskan gambarajah bagaimana kemalangan berlaku. Selepas itu, IO akan turun melihat dan mengambil gambar kereta anda (yang ditunda sebentar tadi). Jangan lupa ucapkan terima kasih.
7. CETAK 'REPORT ORI'

Salinan report yang dikeluarkan Balai Polis Kerinchi bukanlah 'report ori' dan tidak sah untuk tuntutan insurans. Anda perlu dapatkan 'repot ori' di Balai Polis Trafik Tun HS Lee. Anda perlu menunggu nombor giliran dan buat bayaran di kaunter. Pastikan ada cop balai kerana itu ialah tanda salinan anda berstatus 'repot ori'. Kalau boleh cetak sekali repot pelanggar. Abaikan jika pelanggar tidak buat report. Hal itu akan diselesaikan IO.
8. HANTAR KERETA KE BENGKEL
Pada peringkat ini, maklumat kemalangan sudah pun diambil IO yang akan mengeluarkan keputusan siasatan dalam tempoh seminggu (atau lebih cepat). Sekarang kereta anda akan ditunda sekali lagi. Kali ini ke bengkel untuk dibaik pulih. Pastikan dihantar ke bengkel yang menjadi panel sah jenama kereta anda. Jika anda pandu kereta sendiri (yang kemalangan) ke balai polis, sekarang bolehlah pandu sendiri ke bengkel.
9. BUAT TUNTUTAN INSURANS

Kebiasaannya, pihak bengkel yang akan membantu anda membuat tuntutan insurans. Anda perlu sediakan:
i) Salinan kad pengenalan
ii) Salinan lesen memandu
iii) Salinan geran kereta
iii) Salinan nota perlindungan (cover note) insurans
iv) 'Repot ori' bercop balai
10. TUNTUT DAHULU INSURANS SENDIRI
Anda mahu kereta cepat dibaiki, sedangkan keputusan siasatan kemalangan hanya dikeluarkan seminggu kemudian. Tahukah anda, kereta anda sebenarnya boleh dibaiki segera menggunakan tuntutan insurans sendiri terlebih dahulu?
Jangan bimbang, anda tetap masih boleh buat tuntutan semula (reclaim) daripada pihak insurans pelanggar selepas keputusan siasatan diperoleh nanti. Namun, jika tidak kisah membiarkan kereta anda berlama-lama di bengkel, boleh saja tunggu keputusan siasatan siap.
11. FOLLOW-UP KEPUTUSAN SIASATAN

Pada perjumpaan pertama dahulu, IO akan berikan tarikh keputusan keluar. Buat panggilan susulan pada tarikh itu. Jika siap, anda perlu pergi sekali lagi ke balai polis cawangan trafik untuk dapatkan 'report ori' kedua dan ketiga. Ambil nombor giliran dan buat bayaran.
12. DAPATKAN REPORT KEPUTUSAN KEMALANGAN
Selain report biasa daripada kita, ada 2 report lagi perlu dicetak bagi kes kemalangan melibatkan pihak ketiga (pelanggar). Kedua-dua repot itu dikeluarkan IO yang bertugas, iaitu:
i) Keputusan bertulis siapa salah.
ii) Gambarajah draf situasi kemalangan.
Pastikan dua salinan di atas dicop sebagai tanda 'ori'.
13. SERAHKAN KEPADA BENGKEL
Serahkan saja dua repot ori bercop tersebut kepada pihak bengkel untuk diuruskan.
14. SELESAI

Balik rumah dan tunggu kereta anda siap dibaiki. Jangan lupa buat panggilan susulan kepada bengkel dalam seminggu sekali atau 3 hari sekali.

Monday 24 September 2018


Lakukan 10 Tip Ini Jika Kereta Tiba-Tiba 'Breakdown'!

SEDANG seronok memandu dan menyanyi mengikut alunan lagu penyanyi kegemaran di radio, hidung terhidu bau hangit memasuki ruang kabin. Lebih panik, kelajuan kereta pula mula perlahan secara drastik dan akhirnya berhenti begitu saja. Kereta tiba-tiba 'breakdown'!
Peluh mula menitik di dahi dan membasahi badan. Siang mula hampir berganti malam. Aduh, apa nak buat ni? Macam-macam perasaan ada. Stres, takut, risau, dan panik, semua bercampur dalam satu perasaan yang tidak keruan.
Sekarang, tarik nafas. Bawa bertenang, kami akan beritahu 10 tip yang perlu anda lakukan jika kereta tiba-tiba rosak ketika memandu:
  1. JAGA PENYENGGARAAN KERETA

Ini bukan apa yang anda perlu buat ketika kereta sudah rosak. Ini cuma nasihat awal, iaitu tolong pastikan kereta anda disenggara berkala mengikut jadual dan tempoh servis ditetapkan. Walaupun sudah diservis, sebelum bergerak (terutama perjalanan jauh), sila pastikan penyejuk (coolant) dan bendalir pencuci (washer) mencukupi atau tambah apabila kurang. Mana tahu ada kebocoran.
Isian minyak enjin pula mesti berada pada paras maksimum, manakala kondisi tayar perlu selamat dengan mengepam angin pada tekanan ideal.
2. PAKAI JAKET KESELAMATAN

Seeloknya anda menyimpan jaket keselamatan dengan reflektor, termasuk baju hujan dalam kereta. Dua benda ini bukanlah berharga mahal, tetapi sangat berguna apabila berlaku kecemasan. Jaket reflektor dipakai supaya kelibat anda dapat dilihat pengguna jalan raya lain, terutama malam atau cuaca gelap. Baju hujan pula berguna apabila kereta rosak ketika hujan. Jadi, tidak perlu lagi basah kuyup dan menggigil kesejukan, terutama apabila kerosakan disebabkan tayar pancit yang memerlukan anda menukar tayar kereta sendiri.
3. CAS TELEFON BIMBIT

Telefon bimbit yang dicas penuh amat bermakna kerana anda boleh membuat panggilan kecemasan dengan memberitahu seseorang mengenai lokasi terkini anda. Sila bersiap sedia dengan pengecas kereta atau pengecas bateri mudah alih atau powerbank.
4. NYALAKAN LAMPU AMARAN BAHAYA

Jika perasan kelajuan kereta anda mula perlahan secara tiba-tiba, segera aktifkan lampu amaran bahaya sebagai amaran kepada pengguna jalan raya lain. Biarkan menyala walaupun kereta sudah berhenti atau diparkir tepi jalan.
5. TOLAK KERETA JIKA MAMPU

Jika kereta terkandas di tengah jalan, cuba tolak ke tepi jalan. Itupun jika anda mampu melakukannya. Tolak menggunakan bahu kiri sambil tangan kiri mengawal stereng. Jika tidak mampu, cepat lambaikan tangan minta bantuan. Jangan risau, kebiasaannya, ada ramai penunggang motosikal baik hati yang akan cuba membantu anda.
6. BERHENTI DEKAT TELEFON KECEMASAN

Di lebuh raya, jika anda rasa kereta anda memberikan tanda-tanda awal akan mula rosak dan berhenti bila-bila masa, segera cari dan berhenti berhampiran telefon kecemasan (berwarna oren). Boleh saja guna telefon bimbit sendiri. Tetapi telefon kecemasan yang disediakan pihak lebuh raya boleh menghubungkan anda terus kepada operator yang tahu apa perlu anda buat, termasuk mengesan lokasi anda berdasarkan identiti telefon.
7. KELUAR IKUT PINTU KIRI

Jika anda pemandu, sila keluar dari kereta anda menerusi pintu penumpang depan, atau sebelah kiri. Ini kerana laluan kanan terdedah kepada risiko dilanggar dari belakang. Cuba berdiri jauh dari kereta bagi mengelak sebarang kemungkinan buruk
8. DUDUK DALAM KERETA

Jika rasa terancam, terutama jika kereta rosak di kawasan pedalaman, atau hutan, atau jalan raya yang kurang pengguna jalan raya, anda boleh duduk sahaja di dalam kereta dan kuncikan pintu. Jangan lupa dail 999 untuk minta bantuan.
9. PASANG PEMANTUL SEGITIGA

Buka but kereta dan cari segitiga amaran. Pasangkan pada jarak 20-30 meter dari jarak kereta anda, ataupun bersamaan jarak 5 buah kereta. Ini ialah langkah awal mencegah kereta anda dirempuh dari belakang.
10. TELEFON TRAK TUNDA

Tahukah anda, ada dua pihak yang menawarkan khidmat tunda percuma jika kereta anda rosak? Pertama, pihak pengeluar, tetapi tundaan percuma itu terhad ke mana-mana pusat servis terdekat. Kedua, syarikat insurans. Cara ini lebih fleksibel kerana anda diberikan khidmat tunda percuma dalam jarak 60km atau lebih (berbeza mengikut polisi) dan boleh memilih sama ada menghantar ke pusat servis yang menjadi panel syarikat insurans atau bengkel pilihan sendiri.
Jadi, tidak perlu tergesa-gesa apabila dihurung abang-abang kereta tunda yang mendesak anda supaya segera menunda kereta. Bawa bertenang!


Friday 21 September 2018


TIDAK PERLU GELABAH KERETA ROSAK, INSURANS MEMANG SEDIAKAN SERVIS TUNDA KENDERAAN

ANDA mungkin sudah tahu mengenai perkhidmatan tuntutan baik pulih akibat kemalangan yang ditawarkan penyedia insurans kenderaan yang wajib anda perbaharui setiap tahun. Tetapi tahukah anda, penyedia insurans turut menyediakan servis tunda kenderaan jika kereta anda terbabit kemalangan atau rosak di tengah jalan? Jadi kenapa perlu panik dan dipukau brader-brader trak tunda apabila kereta anda kemalangan?
Anda berhak berkata tidak! Cakap saja mahu atau sudah telefon trak tunda wakil insurans. Kegagalan anda bercakap tidak, mungkin menyebabkan anda perlu mengeluarkan kos menunda kenderaan mahal (yang sepatutnya percuma) dan berdepan pula risiko kereta dihantar ke bengkel 'cekik darah'!
Kereta Rosak Di Rumah
Malah, ramai juga tidak tahu servis tunda kenderaan itu turut boleh digunakan untuk menunda kereta anda  yang rosak di rumah atau pejabat.
Misalnya, jika kereta anda tiba-tiba tidak dapat dihidupkan, anda boleh saja menelefon pihak insurans dan meminta mereka menghantar trak tunda untuk membawa kereta anda ke mana-mana bengkel dalam radius penghantaran percuma, kebiasaannya dalam jarak 60km (bergantung penyedia insurans).
Servis tunda kenderaan percuma itu boleh digunakan sekurang-kurangnya 2-3 kali setahun. Diulangi,  anda tidak perlu bayar sesen pun, kecuali duit tol. Itu pun jika perlu melalui jalan raya bertol.
Jadi, jangan panik dan menangis! Terus saja Google nombor telefon pusat khidmat pelanggan penyedia insurans anda dan berikan butiran diri dan kereta seperti diminta. Tempoh menunggu tidak sampai sejam pun. Anda boleh pergi minum-minum dulu atau bermain Pokemon Go.
Hantar Ke Mana?

Jika kemalangan, anda boleh minta kereta ditunda ke balai polis (untuk lapor kes) terlebih dahulu sebelum dihantar ke mana-mana bengkel seperti disarankan pihak insurans. Anda juga boleh hantar kereta ke pomen dipercayai, bengkel panel insurans atau pusat servis sah. Mana-mana pun boleh!
Apa pula mahu buat jika kereta rosak ketika sedang sengkek? Janganlah bimbang, anda boleh minta kereta ditunda ke rumah. Apabila sudah cukup bajet, nah, telefonlah semula pihak insurans dan minta kereta ditunda ke bengkel.
Ini bukan masalah sains roket, tak rumit dan susah sangat pun kan?
Sumber:

TAHUKAH ANDA BERKENAAN CLAIM LOSS OF USE ? Loss of Use adalah kenderaan yang hilang keupayaan untuk berfungsi & perlu berada di ben...