Wednesday 19 September 2018


APA PERLU DIBUAT JIKA KENDERAAN DI CURI

Apabila membayar insurans kenderaan, anda sebenarnya telah memindahkan risiko kenderaan tersebut kepada pihak insurans. Salah satu risiko yang ditanggung oleh pihak insurans adalah kecurian.
Menurut PEMANDU, pada tahun 2014, sebuah kereta dicuri setiap 45 minit di Malaysia. Sampai sekarang tak banyak perubahan yang berlaku dari segi statistik. Masih banyak kereta yang hilang setiap hari di Malaysia.
Bayangkan apa perasaan anda jika anda datang ke tempat parkir dan dapati kereta anda hilang?
Menakutkan bukan?
Walaupun kita berharap pekara ini tidak berlaku, tapi bagus untuk ambil tahu. Sekurang-kurangnya kita tidak panik dan tahu apa yang perlu dibuat jika ianya berlaku.

Apa yang Perlu Saya Lakukan?

Sebaik sahaja anda pasti kenderaan anda tidak berada di tempat yang sepatutnya, semak dulu dengan bank atau syarikat pinjaman. Kemungkinan kereta anda ditunda kerana lewat bayar atau masalah pinjaman. Jika tiada masalah, semak dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Mungkin kenderaan anda ditunda kerana mengganggu aliran lalu lintas.

Sekiranya tidak ditunda, kemungkinan besar kenderaan anda telah dicuri!

Jangan panik.

Pertama sekali, tanya orang di sekeliling jika mereka dapat memberikan apa-apa petunjuk yang dapat membantu siasatan polis. Lihat sekitar lokasi tempat kenderaan anda diletakkan untuk sebarang petunjuk. Tingkap yang pecah, barangan peribadi seperti dompet, kunci atau peralatan tajam yang boleh menjadi bukti kecurian. Ambil gambar tempat parkir bersama bukti, jika ada. Pergi ke balai polis untuk buat laporan.

Di balai polis, berikan butiran lengkap kenderaan anda, nama jalan di mana ia hilang, masa ketika kenderaan diparkir dan bila anda sedar bahawa ia telah hilang. Berikan juga butiran saksi atau CCTV di sekitar kawasan tersebut jika ada. Maklumat ini akan membantu polis percepatkan siasatan. Semakin cepat polis cari kenderaan anda, semakin tinggi peluang untuk ianya dijumpai.

Setelah laporan polis dibuat, hubungi ejen insurans anda atau telefon terus hotline insurans untuk laporkan kepada pihak insurans.

Bolehkah Saya Menuntut Pampasan dari Syarikat Insurans?

Setelah membuat laporan, pasti anda tertanya-tanya sama ada anda boleh menuntut pampasan dari pihak insurans. Sebelum buat tuntutan pastikan:

1. Jenis Insurans Kereta Anda
Kecurian dilindungi di bawah insurans:
(i) Komprehensif (Comprehensive atau First Party)
(ii) Kebakaran, Kecurian dan Pihak Ketiga (Third party, Fire and Theft)
Sekiranya insurans kereta anda adalah insurans Pihak Ketiga sahaja (Third Party), pihak insurans tidak akan bayar pampasan kecurian.

2. Nature of Theft.
Sekiranya anda menyerahkan kenderaan kepada orang lain dengan sukarela, dan ianya dicuri. Pihak insurans tidak akan bayar apa-apa pampasan. Contohnya:
1. Anda menyerahkan kereta kepada kawan. Kemudiannya dia menghilangkan diri dengan kereta.
2. Kereta dihantar ke tempat cuci kereta dan kemudiannya hilang.
3. Kereta diserahkan kepada joki kereta dan ianya dicuri.
Semuanya ini dianggap sebagai kecuaian oleh pemilik. Anda tidak boleh menuntut pampasan insurans.

Apakah Dokumen yang Diperlukan?
Jika anda layak untuk tuntut pampasan, dokumen yang perlu dihantar kepada pihak insurans adalah seperti berikut:
1. Borang Tuntutan
2. Salinan Kad Pengenalan dan Lesen Memandu Pemandu yang Diinsuranskan
3. Salinan Kad Pengenalan Pemandu dan Lesen Memandu (jika pemandu selain daripada diinsuranskan)
4. Salinan Geran
5. Laporan Polis
6. Sijil Insurans
7. Salinan Perjanjian Pinjaman
8. Salinan Permit yang Diluluskan (untuk kenderaan yang diimport sahaja)

Berapa Banyakkah Pampasan yang Saya Boleh Tuntut?
Selepas penyerahan borang tuntutan, pihak insurans akan menghantar wakil untuk menyiasat tuntutan tersebut. Berikan kerjasama sepenuhnya untuk mempercepatkan urusan.
Jika kenderaan anda diinsuranskan mengikut Jumlah yang Dipersetujui (Agreed Value), anda akan dapat pampasan mengikut jumlah tersebut.

Jika kenderaan anda diinsuranskan mengikut Harga Pasaran (Market Value), pihak insurans akan menawarkan pampasan berdasarkan Nilai Pasaran Semasa atau Jumlah yang Diinsuranskan (Sum Insured), yang mana lebih rendah. Nilai Pasaran Semasa ditentukan oleh sistem penilaian pasaran yang diluluskan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).

Baki pinjaman tidak ada kaitan dengan nilai insurans kenderaan anda. Apa pun jumlah pinjaman yang tertunggak itu adalah di antara anda dan bank. Anda tidak akan diberi pampasan untuk aksesori tambahan seperti sistem audio, sportrim, sporting exhaust, bucket seat dan lain-lain. Kecuali jika anda ada membayar insurans aksesori kenderaan semasa pembaharuan insurans.
Sementara itu, bagi kenderaan yang Underinsured, pihak insurans akan membayar pampasan sehingga Jumlah yang Diinsuranskan sahaja. Sebab itu penting untuk pastikan jumlah insurans anda mencukupi untuk menampung pinjaman yang belum dijelaskan.
Jika anda tidak bersetuju dengan tawaran penyelesaian, anda boleh menghantar surat rayuan kepada pihak insurans anda dengan dokumen yang sokongan, contohnya penilaian harga kenderaan dari peniaga kereta yang bereputasi. Walau bagaimanapun, rayuan anda akan tertakluk kepada budi bicara dan perbincangan lanjut pihak insurans.
Anda akan menerima tawaran penyelesaian dari pihak insurans anda dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh laporan kecurian atau apabila siasatan polis selesai, yang mana lebih awal.

Bagaimana Pula Jika Kenderaan Saya Dijumpai
Jika kenderaan anda dijumpai ketika tuntutan insurans anda masih dalam proses, anda masih dikira sebagai pemilik kenderaan tersebut. Sekiranya kereta anda perlu dibaiki, anda boleh memohon tuntutan kerosakan daripada pihak insurans tetapi Diskaun Tiada Tuntutan (NCD) anda akan dibatalkan.
Walau bagaimanapun, jika pampasan telah dibayar oleh syarikat insurans, anda bukan lagi pemilik kenderaan ini. Sebaliknya, kenderaan tersebut telah pun menjadi hakmilik syarikat insurans.



No comments:

Post a Comment

TAHUKAH ANDA BERKENAAN CLAIM LOSS OF USE ? Loss of Use adalah kenderaan yang hilang keupayaan untuk berfungsi & perlu berada di ben...